The Legends~

Friday, 25 March 2016

TRAVELOG IQRAC                                                             # BAB 1
     Petang indah disuluhi cahaya mentari yang sederhana ditambah dengan angin sepoi-sepoi yang memukul muka.Aku bersama insan yang banyak berjasa dalam hidupku  meluncur laju menaiki kereta meredah kesesakan Bandar Sungai Petani untuk ke toko buku yang tak asing lagi bagi warga di sini,iatu Hasani.Sudah menjadi kezaliman pada setiap hujung tahun akan diadakan jualan mega yang menawarkan potongan habis-habisan bagi semua pencinta buku di bandar ini.Aku salah seorang yang tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini.Masakan tidak,jika hendak ke pesta buku antarabangsa di  Kuala Lumpur memerlukan kos yang tinggi dan tidak setimpal buat warga yang tidak menetap di Lembah Klang seperti kami.
“Ayah,tahu tak tempat-tempat yang  menyediakan peluang untuk menghafal al-quran sekitar sini?”.Aku memulakan bicara untuk memecah kesepian.“Oh,ada lah tahu satu dua tempat,kenapa?teringin nak menghafal?”.Beliau menyoal kembali sambil memandang tepat wajah anak perempuanya.
“Ya ayah,Izzah teringin sangat”.Jawabku ringkas.“Ok,nanti abah akan cuba tanya pada kawan-kawan abah yang ada pengalaman menghantar anak ke pusat tahfiz”.Beliau membenihkan harapan dalam diriku sambil matanya ligat memerhatikan lampu isyarat yang bila-bila masa sahaja akan bertukar hijau.
“Alhamdulillah”,aku mengukir senyuman.
Sudah seminggu peperiksaan SPM berakhir,sudah seminggu jugalah aku telah meninggalkan dunia sebagai seorang pelajar sekolah.Sehari sejurus selepas SPM selesai sehingga kelmarin masaku padat diisi dengan program-program seperti daurah dan rehlah yang dianjurkan para murabbi sekolah lamaku.Mereka seolah-olah dapat merasakan bahawa jiwa-jiwa kami amat dahagakan pengisian dan tauhijat setelah sekian lama berhempas pulas mengerahkan tenaga untuk  peperiksaan terbesar dalam alam persekolahan.Kini tiba pula masanya untuk aku berkhidmat kepada kedua ibu bapa di rumah dan mengisi celah waktu terluang untuk membaca buku-buku yang sudah lama tak terusik dalam almari.
Di samping itu,aku juga telah mengatur beberapa agenda agar cuti panjang ini tidak terbuang begitu sahaja.Perkara paling utama dan pertama ialah aku menekadkan diri mahu menghafal al-quran,kalau tidak dapat 30 juzu pun tidak mengapa.Asalkan ada sebahagian daripadanya yang dapatku pegang.Hasrat ini telah lama ku simpan diam-diam dalam hati.Namun,hingga kini aku belum menemukan peluang itu.
Jika diingatkan kembali aku hampir dapat menunaikan impian ini kerana  telah layak mengikuti satu temuduga bagi pengambilan pelajar pensijilan Darul Quran-UIAM yang diadakan di Maahad Tahfiz Quran Wal Qiraat,Alor Star  kira-kira dua bulan yang lalu.Namun mustahil,sangat mustahil untuk  berjaya melepasi saringan ini.Cuba bayangkan masa yang diambil untukku menjalani temuduga bersama panel UIAM  tidak sampai 2 minit.Hal ini gara-gara aku meletakkan kos ilmu wahyu sebagai kos pilihan pertama jika mahu melanjutkan pelajaran di universiti yang wujud daripada hasil gagasan idea Tun Dr Mahathir itu.
“Maafkan saya,jika saudari ingin melanjutkan pelajaran ke UIA dalam bidang pengajian islam,saudari boleh mohon melalui UPU selepas mendapat keputusan  SPM yang sebenar”,suara lembut panel tersebut  bergema menenuhi ruang bilik temuduga tersebut.
Aku terdiam.
Ya, aku sudah maklum program ini diwujudkan bagi yang berminat untuk melanjutkan pelajaran bagi kos sains sahaja tapi apa salahnya mencuba nasib?.Malah ketika ujian menghafal tadi sudah ku lakukan sebaik mungkin.Tak mengapa,setidak-tidaknya hari ni aku dapat merasai pengalaman ditemuduga,aku cuba memujuk diri yang sudah diselubungi rasa kecewa.
Sejak dari saat itulah aku telah berusaha untuk melupakan hasratku untuk ke Darul Quran,biarlah impian itu dibawa terbang jauh dari kotak fikiranku.Tapi ini bukanlah bermakna cita-cita untuk menghafal alquran ini harus aku lupakan.Aku akan terus mencari peluang demi peluang untuk mengukir kalimah-kalimah tuhan dalam hatiku.
 Rasulullah tidak meninggalkan harta atau jaringan perniagaan yang menguntungkan mahupun banggunan mewah yang boleh dibanggakan  bahkan masjid yang dibina baginda di Madinah sahaja atapnya diperbuat daripada pelapah tamar,lantainya hanya beralaskan tanah dan apabila hujan,air  akan menitik jatuh atas badan para sahabat.Apa yang Rasulullah tinggalkan?Tidak lain dan bukan hanyalah al-quran.Bukanlah al-quran dalam bentuk mushaf atau buku tetapi al-quran yang telah diukir ke dalam hati-hati assabiqunal auwalun,para sahabat dan ahli keluarga baginda.
Jika zaman rasulullah islam dapat sampai ke dua tanah suci dan kawasan yang berdekatan dengannya,pada zaman para sahabat islam dapat diterima hampir ke seluruh tanah arab.Mereka telah 'ditrain’ oleh Rasulullah dengan al-quran.Kejayaan itu ialah hasil daripada usaha mereka merealitikan dan membumikan ajaran dan idea al-quran dalam segenap sistem dan kehidupan.
                          …………………………………………………………………
Sausana ketika itu damai.Hati benar-benar di sapa kebenaran-Nya.Terasa benar diri ini akan kekerdilan seorang hamba.Dia telah menciptakan pulau yang indah ini.Dia juga mewujudkan air laut yang biru menenangku bila melihatnya lantas membuai jiwaku tenang.Dan bibir terasa ringan menuturkan tasbih memuji kebesaran-Nya,yang menciptakan segalanya.
Sudah lama rasanya aku tidak bermusafir bersama keluarga tambah-tambah lagi sejak memasuki asrama kerana setiap kali waktu cuti menjelma pasti  perlu aku korbankan masa tersebut untuk mengikuti kelas tambahan di sekolah.Kini aku berpeluang menjejakkan kaki ke Pulau Langkawi bersama mereka.Walaupun dibesarkan di Kedah namun inilah kali pertama aku sampai ke sini,percutian ini akan aku manfaaatkan untuk menggarap semaksimumnya ibrah yang dihidangkan tuhan bagi makhluknya yang mahu berfikir.
Sedang aku leka membawa diri kembali ke zaman Mahsuri yang terkenal dengan kisah lagendanya  tiba-tiba  lagu Stand up yang dialunkan oleh Muaz Zulkifli  kedengaran nyaring dari kocek baju.Ini  membawa petanda bahawa ada mesej yang sampai ke telefon pintar milikku. “Siapa yang telefon?”,adikku yang bongsu bertanya.“Bukan panggilan telefon tapi mesej sahajalah”,jawabku malas.
Tanpa membuang masa,aku menekan butang on untuk menyalakan  papan skrin dan membuka mesej tersebut.Hampa,yang timbul hanya mesej daripada nombor tidak dikenali yang menawarkan hadiah-hadiah percuma jika kita melanggan perkhidmatan mereka.Belum sempat lampu skrin terpadam,telefonku kembali berbunyi.Satu mesej lagi telah masuk.
“Tahniah izzah!awak berjaya temuduga dan diterima masuk ke Darul Quran”.
Aku berulang kali membaca mesej tersebut bagi memastikan apa yang dibaca tadi benar-benar betul.Terasa darah yang sedang mengalir dalam tubuh seakan-akan berhenti.Aku kelu seketika,pemandangan indah pulau lagenda yang berada di hadapan mata seakan sudah tidak berjaya menarik minatku lagi.Aneh,mimpi apakah ini?
“Ibu,ijah dapat Darul Quran,..tapi macam mustahillah,ibu sendiri tahukan waktu temuduga hari tu ijah macam mana”,aku meluahkan isi hatiku.
Beliau memberikan senyuman kepadaku sambil berkata,
“Allah percaya ijah boleh bawa 30 juzu sebab itulah dia beri peluang ni,izinkanlah diri untuk ditarbiah di sana”.
Aku terdiam sambil memikirkan kata-kata ibu.Sungguh terlalu dalam maksudnya bagiku.Peluang yang hampir luput dari ingatan tiba-tiba timbul kembali menunjukkan diri membuatkan diriku tidak berhenti berfikir.Perasaan bercampur baur.Cita-cita yang telah lama diimpikan bagai menunjukkan jalan dan haluannya
Mood percutian bersama keluarga ke sini seakan-akan berubah,ibu bapaku mula sibuk mengatur perancangan bagi menyediakan segala keperluan surat-menyurat yang diminta oleh pihak Darul Quran  kerana tarikh kemasukan tidak sampai tiga minggu sahaja lagi.Sehinggakan sebahagian barang-barang keperluan untukku ke sana telah siap dibeli sebelum kembali ke rumah.
Hakikatnya dari hati yang dalam tidak dinafikan ada sahaja bisikan-bisikan jahat yang cuba untuk menguasai diri, “Kau rasa kau mampu?yakin ke kau boleh habiskan 30 juz? tak takut ke nanti kau akan menggalas tanggunjawab yang lebih besar?”.Namun sedaya upaya aku cepat-cepat menepisnya dengan mengembalikan kepercayaan kepada Allah.Barangkali aku terlalu menilai sesuatu keberhasilan dengan bergantung pada usaha yang dilakukan sehingga lupa kebergantungan kepada Allah.
                                     ……………………………………………………
“Hendaklah kalian memberikan hak kepada mata kalian untuk beribadah.Kemudian para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah,apakah hak mata dalam ibadah?”Baginda menjawab,memandang mashaf(al-quran),berfikir tentangnya dan mengambil pengajaran pada keajaiban-keajaibannya”
                                                                   (riwayat Ibnu Abi Ad-Dunya dengan sanad dhaif)
Keterikatan al-quran dan seorang mukmin itu sangat dekat.Bahkan Hasan Al-Banna Rahimullah sendiri telah menetapkan agar para ikhwan membaca paling kurang satu juzu’ dalam satu hari sebagai kewajipan pertama dalam empat puluh tuntutan  bagi seorang al-akh al-mujahid.Iatu orang-orang yang telah berbaiah   untuk menyumbangkan seluruh hidup untuk bekerja demi islam.Impaknya,gerakan yang dipimpin beliau masih bertahan sehingga kini walaupun telah melalui pelbagai mehnah dan sejarah yang rencam.
                                       …………………………………………………
Hari ini kali kedua aku menjejakkan kaki ke Darul Quran Jakim,jika 6 tahun dahulu sebagai pelajar sekolah yang datang melawat,hari ini sebagai pelajar baru yang akan mendaftarkan diri.Tarikh 6 Januari 2014 pasti akan menjadi sejarah hidup bagi aku dan insan-insan lain yang menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke bumi barakah ini.
Kedatangan aku sekeluarga disambut oleh beberapa orang senior yang ramah dan murah dengan senyuman.Mereka tidak lokek berkongsi serba sedikit pengalaman sepanjang di Darul Quran dan menerangkan perjalanan hari pendaftaran tanpa diminta.Semoga Allah membalas budi baik mereka dengan sebaik-baik ganjaran.
Daripada proses pendaftaran,perasmian,ikrar,simbolik penyerahan pelajar kepada Darul Quran sehinggalah check in asrama semuanya telah selamat aku lalui.Kini tiba masanya,untuk semua ibu bapa untuk pulang ke tempat asal masing sama ada ke utara,selatan,pantai timur atau hanya di sekitar Lembah Klang.Tidak terkecuali ibu bapaku,tak putus-putus nasihat yang diberikan sebelum anak perempuan mereka ini ditinggalkan.
Dari jauh aku memerhatikan kereta hilang daripada pandangan mataku.Tanpa disedari air mataku bertakung di kelopak mata lalu jatuh ke pipi.Bukan kerana takut rindukan mereka tetapi kerana sedar ada amanah besar sedang digalas belakangku yang memerlukan mujadah yang tinggi.

No comments:

Post a Comment