The Legends~

Friday, 25 March 2016

         KELUHAN YANG MENGGERAKKAN.

   Beg coklat gelap yang dibeli sewaktu dalam perjalanan pulang dari ibu kota ke negeri jelapang padi suatu ketika dahulu dilepaskan ke kerusi. Badan segera dihenyakkan ke atas tilam demi melepaskan lelah selepas beberapa jam keluar ke salah satu gudang daripada gudang-gudang ilmu yang wujud di bumi Isa alaihissalam ini. Kepala berkira-kira bajet belanjawan peribadi bulan ini,nampaknya terpaksalah menahan diri dahulu daripada membeli barang-barang keperluan yang baru disenaraikan semalam di samping meminimumkan perbelanjaan kerana tempoh untuk sampai ke hujung bulan masih jauh. Perlukah aku mengeluh atau bersyukur?

   Nun jauh beribu kilometer di negara tanah air tercinta GST telah selamat dilangsungkan dalam sendi-sendi perniagaan dan perindustrian. TPPA hanya menunggu masa untuk dibahaskan di parlimen yang dijangka Januari depan. Kenyataan mengejut oleh Dewan Negara tentang kelulusan Rang Undang-undang Majlis Keselamatan(MKN) menunjukkan tanda-tanda negara sedang menuju ke arah kediktatoran. Tidak cukup dengan itu,nadi utama warga marhaen di Lembah Klang seperti monorel,LRT dan sebagainya juga direnggut dengan kenaikan harga berkali ganda.

   Seiringin dengan itu di sisi yang lain,wujud suara balas yang tidak jemu-jemu mengangkat sepanduk saban minggu di hadapan SOGO bagi menyatakan ketidaksedudukan mereka dengan agenda pemerintah. Manakala di alam maya timbul kumpulan-kumpulan kolektif yang aktif menuang deretan penerangan tentang mafsadah tindak tanduk golongan atasan pada rakyat. Dan tidak sedikit juga yang masih bergoyang kaki tidak endah peduli. Selagi perut mereka tidak berasa terancam daripada tidak diisi setiap hari kezaliman besar mana pun tidak akan menjadi urusannya. Sukar sekali rasanya cita-cita ustaziatul alam yang selalu didendangkan dalam halaqoh-halaqoh kecil dapat menjadi realiti jika melihatkan kejelikkan sistem masa kini.


   "Perlukah aku mengeluh atau bersyukur kerana sekurang-kurangnya aku masih bebas beribadah dan mengamalkan suruhan agama yang lain?."Lagi sekali soalan itu menerpa.

 'Adanya seperti tiada,' komen seorang figura negara apabila ditanya tentang aktivisma mahasiswa hari ini. Tidak dinafikan belakangan ini sudah ada ikon-ikon mahasiswa yang bangkit dalam menyampaikan idea-idea reformasi atau lebih tepat bersuara mendapatkan hak mereka tetapi ia belum cukup untuk membina satu gelombang perubahan ditambah pula kesedaran ini bersikap berpusat di kampus-kampus sekitar ibu kota.

   Masyarakat yang ditindas tidak akan terbela melainkan perlunya jiwa-jiwa yang sedar sebanyak mungkin. Generasi yang ingin dicetak ialah generasi yang kefahaman tauhidnya jelas,akhlaknya halus kepada sahabat mahupun musuh,pekung thaqafahnya diisi setiap hari dan mereka mempunyai sensitiviti yang tinggi tentang segala yang berlaku terhadap polisi negara,agama dan hal dunia. Mereka berpencak dengan sebaiknya sewaktu di alam universiti dan bakal keluar membumikan ilmu dan pengalaman kepada masyarakat.

  Tetapi cita-cita ini perlu dimulakan daripada mana?mata tidak dapat dipejam sepatutnya aku sudah lama terbuai mimpi memandangkan keletihan sedang membalut diri. Aku tidak dapat berhenti berfikir.

  Sheikh Abu Hasan Ali An-Nadwi pernah berkata perubahan yang paling 'sustain'  bermula dengan ilmu. Walaupun mengambil masa yang lama dan memakan puluhan tahun tetapi perubahan yang dimulai dengan ilmu lebih bersifat realistik dan bertahan lebih lama bukan sekadar 'hangat-hangat tahi ayam'. Malahan jika dilihat setiap tamadun yang pernah berada dikemuncak tertinggi dibelakangnya wujud para cendiakawan yang menjadi tulang empat kerat bagi empayar tersebut.

 Aku jadi teringat empat garis panduan awal untuk melahirkan generasi yang berintegriti.Ia dicatat oleh Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia,Tuan Jufitri Joha dalam kerta kerjanya yang bertajuk Mahasiswa Huffaz antara Citra Intelektualisme dan Misi Rahmatan Lil'alamin. Pertama dan utama ialah membina skil pembacaan. Bahan bacaan yang dimaksudkan tidaklah hanya terhad kepada buku-buku haraki daripada Syed Qutb dan Hasan Al Banna sahaja tetapi perlu juga pendedahan kepada karya yang bertenaga tinggi dari dunia islam,barat dan melayu. Keduanya ialah mempertingkatkan skil pemikiran kritis yakni berupaya membandingkan sesuatu karya dengan karya lain yang bertentangan dengannya. Selain itu mampu mengaitkan apa yang dibaca kepada realiti semasa lalu mampu membuahkan idea-idea solusi yang diperlukan.

   Ketiga,mempelajari skil kepemidatoan supaya idea-idea yang hendak diberikan dapat disampaikan dengan bahasa yang diyakini dan difahami oleh masyarakat. Yang terakhir ialah skil penulisan. Beliau menyarankan agar melazimi diri untuk menulis seminggu sekali supaya dapat menjadi kebiasaan. Penulisan ialah medan yang penting untuk menjadi seorang jurubicara ummat,cuba bayangkan Dr Muhammad Abu Bakar berjaya menghasilkan buku  Mahasiswa Menggugat sewaktu masih di alam universiti lagi manakala Soe Hok Gie mampu meluaskan pemikirannya di Indonesia melalui tulisan   sahaja kerana beliau bukanlah seorang yang begitu popular sewaktu hidupnya.

 "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum hingga mereka mengubah diri mereka sendiri"
(Ar-ra'd:11)

  Manusia tidak dapat melepaskan diri daripada mengeluh termasuk aku. Saban hari manusia mengeluh dengan bermacam-macam asbab dan masalah. Hanya mereka bijak yang akan memanfaatkan masa dan kudrat untuk membuat perubahan. Sedangkan aku masih muda,remaja dan bebas untuk bergerak. Cuma yang masih diperlukan ialah suntikan keberanian. Berani untuk benar.

Glosari
GST:Good Service Tax
TPPA:Trans Pacific Patnership Agreement
sustain:kekal,terpelihara

No comments:

Post a Comment